Pelan Damai Gaza: Antara harapan dan ujian

Iklan
Pengalaman lalu membuktikan setiap perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh runtuh sekelip mata apabila ada pelanggaran sama ada disengajakan atau tidak. Gambar hiasan

FASA pertama pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Gaza kini memasuki detik penting.

Selepas beberapa minggu rundingan intensif di Mesir, gencatan senjata antara Israel dan Hamas akhirnya mula menunjukkan hasil awal dengan pembebasan tebusan dan tahanan, penghantaran bantuan kemanusiaan serta sedikit ruang bernafas buat lebih 2 juta penduduk Gaza.

Iklan
Iklan

Namun, kejayaan awal ini masih terlalu rapuh. Pengalaman lalu membuktikan setiap perjanjian gencatan senjata di Gaza boleh runtuh sekelip mata apabila ada pelanggaran sama ada disengajakan atau tidak.

Pelan damai kali ini dijangka melalui beberapa fasa, termasuk pertukaran tahanan, pengukuhan gencatan dan penubuhan pentadbiran sementara bagi mengurus Gaza.

Iklan

Antara cabaran utama ialah memastikan semua pihak benar-benar mematuhi syarat gencatan senjata. Tambahan pula, masih belum jelas mengenai sistem pemantauan antarabangsa untuk mengesahkan siapa melanggar perjanjian jika berlaku insiden.

Faktor geopolitik juga memberi kesan besar. Negara pengantara seperti Mesir, Qatar dan Turkiye memainkan peranan penting dalam memastikan komunikasi terus berjalan.

Iklan

Bagaimanapun, sebarang ketegangan diplomatik antara mereka boleh mengganggu keseluruhan pelan damai. Selain itu, isu pembiayaan dan pembinaan semula Gaza turut menjadi perdebatan.

Dunia sepakat mahu membantu tetapi siapa yang mengurus, menyalurkan dan memantau dana masih belum jelas.

Bagi memastikan pelan damai ini tidak dicabuli, beberapa langkah boleh dipertimbangkan antaranya mewujudkan talian komunikasi segera antara wakil Israel, Hamas dan pengantara bagi menyelesaikan insiden di lapangan sebelum ia merebak.

Selain itu, penetapan insentif dan penalti jelas wajar dilaksanakan sebagai contoh pihak yang mematuhi perjanjian harus diberi ganjaran seperti pembukaan laluan bantuan lebih luas, manakala pelanggar dikenakan sekatan.

Fasa pertama pelan damai ini bukan jaminan keamanan mutlak kerana perjalanan kemerdekaan Palestin masih jauh tetapi ia peluang terbaik untuk menghentikan keganasan dan membuka ruang pembinaan semula Gaza secara tersusun.

Kunci kejayaannya ialah ketelusan, kerjasama pelbagai pihak dan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar perjanjian.