Filem 'Mother Bhumi' wakili Malaysia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo

Iklan
Filem Mother Bhumi dibintangi pelakon antarabangsa, Fan Bingbing dijadualkan membuat tayangan perdana dunia pada 27 Oktober ini.

FILEM tempatan Mother Bhumi, arahan pengarah berkaliber, Chong Keat Aun mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai antara 15 filem terpilih ke pertandingan utama Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) 2025.

Mother Bhumi yang dibintangi pelakon antarabangsa terkenal Datuk Fan Bingbing, dijadualkan membuat tayangan perdana dunia pada 27 Oktober ini, iaitu di hari pembukaan TIFF edisi ke-38 itu yang akan berlangsung hingga 5 Nov depan di Tokyo, Jepun.

Iklan
Iklan

Keat Aun menyifatkan pemilihan filem yang menjalani keseluruhan penggambaran di Bendang Siam, Kedah itu satu penghormatan besar serta pengiktirafan terhadap kisah dan budaya tempatan Malaysia.

"Memang sudah lama filem Malaysia tidak terpilih ke pertandingan utama festival berprestij ini. Kali ini, Mother Bhumi akan membuat tayangan perdana dunia pada 27 Oktober nanti, di hari pembukaan TIFF,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Pemenang anugerah Pengarah Baru Terbaik Festival Filem Golden Horse Taipei ke-57 itu berkata, filem tersebut dijangka bertanding dalam lima kategori, iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Menurut Keat Aun, filem menampilkan pelbagai bahasa yang digunakan komuniti Malaysia itu merupakan hasil kerjasama empat negara iaitu Malaysia, Hong Kong, Itali dan Arab Saudi, namun menceritakan tentang komuniti tempatan termasuk etnik Siam di negara ini.

Iklan

"Filem ini memang 100 peratus tentang cerita setempat, cerita orang Malaysia. Lebih menarik, Fan Bingbing berlakon sebagai wanita tempatan. Biasanya, kalau kita undang artis dari luar negara, mereka mungkin berlakon sebagai orang luar,” katanya.

Filem yang turut mendapat lapan pencalonan di Golden Horse Awards 2025 itu berkisarkan cerita rakyat tentang seorang wanita yang mengusahakan sawah pada waktu siang dan menjadi bomoh pada waktu malam, berlatarkan penghujung era 1990-an.

Naskah itu turut dibintangi pelakon Natalie Hsu, Bai Run-yin dan Pearlly Chua. - Bernama