PELAKON terkenal, Nur Fazura menerima permohonan maaf terbuka daripada pelawak veteran, Lan Pet Pet yang terlanjur membuat gurauan berbaur lucah terhadap aktres itu semasa sesi ‘live’ acara mempromosikan jenama pakaian.
Fazura memuat naik hantaran menerima permohonan maaf tersebut di Instagram, tidak beberapa lama selepas Lan Pet Pet mengemukakan kenyataan terbukanya itu di platform sama.
Meskipun mengakui hatinya pernah terguris dek gurauan sedemikian, kata Fazura, keinginan untuk mencapai keredaan ALLAH SWT adalah lebih utama.
"Susuli permohonan maaf secara terbuka oleh saudara Lan, Faz memilih untuk segera memaafkan sepertimana segera pula saudara Lan memohon maaf atas kekhilafan anda.
"Ini kerana walaupun hati pernah terguris, keinginan mencapai reda ALLAH SWT adalah lebih utama.
"Semoga pula kejadian ini menjadi pengajaran dan juga teladan buat kita bersama, mudah-mudahan," kata selebriti jelita berkenaan.
Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 57, pada Ahad memohon maaf sambil menjelaskan bahawa dirinya sama sekali tidak berniat untuk menyinggung perasaan ibu kepada Nur Fatima Aisya itu.
“Untuk Fazura, Abang Lan minta maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam tidak sedar ketika sedang melawak, ada perkara yang menyentuh hati dan perasaan Fazura.
"Kepada semua peminat Fazura dan kumpulan Senario, demi nama ALLAH SWT saya tak ada niat apa-apa pun. Saya hanyalah manusia biasa.
“Sekali lagi saya minta maaf. Saya terlepas cakap dan suasana ketika itu saya pun tak sedar. Maafkan saya,” ujarnya sesal.
Sebelum ini, tular sepotong video menampakkan Lan sedang berbual bersama Fazura ketika sesi penstriman langsung di media sosial.
Kelihatan netizen bertanyakan bila Fazura bakal berkahwin lagi, namun soalan itu dijawab secara tidak sopan oleh Lan, berbunyi 'hangpa (kalian) tunggulah sekejap. Baru dua tahun (tempoh Fazura bercerai)... tunggulah dua tiga tahun, bagi ke**t sikit.