KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bertindak ganas hingga sanggup merempuh sekatan jalan raya (SJR) polis untuk meloloskan diri akhirnya berjaya dilumpuhkan baru-baru ini.
Kejayaan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi enam siri operasi itu berjaya menahan 18 individu termasuk empat wanita yang disyaki berperanan sebagai tekong, ejen, transporter, penjaga rumah transit selain PATI.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi ini bertindak susulan satu insiden jenayah penyeludupan migran membabitkan empat kenderaan yang merempuh SJR Pos PGA Pulau Carey, Kuala Langat kira-kira jam 2.30 pagi, 28 Julai lalu.
Menurutnya, hasil maklumat dan risikan kemudian membawa kepada tangkapan seorang lelaki Indonesia berhampiran Pos PGA Pulau Carey kira-kira jam 3 pagi, Jumaat lalu, dengan rampasan sebuah Toyota Vios serta telefon bimbit.
"Maklumat kedua kira-kira jam 4.30 pagi hari sama telah cuba menahan dua kenderaan berhampiran Plaza Tol Telok Panglima Garang, Banting.
"Malangnya kenderaan terbabit telah lolos sebelum salah satu kenderaan itu ditemui ditinggalkan kosong di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)," katanya dalam sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA Cheras, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, enam lelaki serta seorang wanita Indonesia ditahan dengan rampasan sebuah Toyota Hilux di Jalan Semenyih, Kajang.
Tambahnya, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia pula ditahan di hentian rehat dan rawat (R&R) Kampung Bemban, Melaka, manakala enam lagi termasuk dua wanita juga warga Indonesia ditahan di sekitar Rawang, Selangor.
"Seorang lelaki warga tempatan kemudian ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira jam 6 pagi keesokannya (Sabtu)," ujarnya.
Jelas beliau, dipercayai kesemua tangkapan ini melibatkan satu rangkaian sindiket sama yang membawa masuk PATI melalui jalan laut dan aktif di waktu malam.
"Sindiket disyaki turut aktif di media sosial menawarkan khidmat menyeludup PATI dengan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,500 setiap seorang," ujarnya.
Tegasnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada IPD Kajang dan usaha mengesan saki-baki suspek masih giat dijalankan.
"Saya seru kepada masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang kegiatan jenayah," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan anggota PGA terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan disyaki membawa PATI dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Telok Panglima Garang, Kuala Langat Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu berlaku ketika Bahagian Task Force Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Briged Tengah PGA bersama anggota Pos PGA Pulau Carey menjalankan operasi di kawasan berkenaan.