ALOR SETAR - Pengaruh media sosial dan ketagihan internet terhadap kesihatan mental khususnya dalam kalangan golongan muda tidak boleh dipandang ringan.
Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bertitah, walaupun teknologi digital mampu menghubungkan masyarakat tanpa sempadan, namun ia turut membawa risiko besar seperti tekanan sosial, buli siber, gaya hidup hedonistik serta budaya materialisme yang semakin berleluasa.
Menurut Che Puan Muda Zaheeda, risiko ini menjadi lebih membimbangkan apabila ia membawa kepada ketagihan internet.
“Sebagai negara progresif, kita perlu mencari keseimbangan antara menerima kemajuan digital dan memelihara kesihatan mental rakyat,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) cawangan Kedah dan pelancaran buku ‘Mental Health and Society’ di sini pada Isnin.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Che Puan Muda Zaheeda yang merupakan Penaung Diraja MMHA bertitah agar isu kesihatan mental perlu diberi perhatian serius memandangkan gejala buli di sekolah dan universiti semakin membimbangkan.
“Kita tidak boleh abaikan isu-isu kesihatan mental yang sedang berlaku di hadapan mata, antaranya gejala buli kerana ia boleh meninggalkan kesan trauma jangka panjang, bukan sahaja kepada mangsa malah kepada pelaku,” titah baginda.
Raja Puan Muda juga menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan mental warga emas memandangkan Malaysia kini menuju ke arah masyarakat menua.
“Pengalaman kesepian semasa pandemik Covid-19 menunjukkan bagaimana pengasingan sosial boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental. Golongan warga emas mesti diberi sokongan agar mereka dapat melalui usia tua dengan bermaruah, sokongan keluarga dan jaringan sosial yang kukuh,” titah baginda lagi.
Che Puan Muda Zaheeda turut mengingatkan bahawa walaupun Malaysia terhindar daripada bencana besar berbanding negara lain, namun persediaan menghadapi krisis kemanusiaan, bencana iklim dan wabak penyakit tidak boleh diabaikan.
“Kita bersyukur Malaysia terhindar daripada bencana berskala besar, namun kita tidak boleh leka. Di seluruh dunia, konflik dan krisis kemanusiaan menimbulkan cabaran besar terhadap perkhidmatan dan sokongan kesihatan mental dalam situasi kecemasan.
“Daya tahan mesti dibina sebelum bencana melanda. Dengan menyediakan sistem yang baik, tenaga profesional secukupnya serta perkhidmatan komuniti yang kukuh, kita boleh memastikan bantuan kesihatan mental mudah diakses ketika kecemasan,” titah baginda.
Baginda bertitah, MMHA telah lama memainkan peranan penting dalam membentuk lanskap kesihatan mental di negara ini dengan meningkatkan kesedaran selain menyediakan pemulihan stigma serta melindungi Orang Kurang Upaya Psikososial (OKUP).
“Kesihatan mental semakin diiktiraf sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara kita,” titah baginda lagi.
Che Puan Muda Zaheeda menzahirkan keyakinan dengan kerjasama berterusan antara kerajaan, masyarakat dan profesional, Malaysia akan mampu melangkah ke arah masa depan yang lebih sihat, inklusif dan penuh belas kasihan.
Sementara itu, Presiden MMHA, Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, penubuhan MMHA cawangan Kedah menandakan satu lagi langkah penting dalam memperluaskan peranan persatuan itu di seluruh negara selepas kejayaan penubuhan di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
“MMHA sentiasa bekerjasama dengan pembuat dasar, profesional kesihatan dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma serta memperkukuh dasar kesihatan mental yang lebih inklusif.
“MMHA turut menyediakan pelbagai program pemulihan psikososial berasaskan komuniti, khidmat kaunseling, talian bantuan serta kumpulan sokongan rakan sebaya dalam usaha memperkasakan individu untuk menjalani kehidupan lebih bermakna dan produktif,” ujarnya.