SHAH ALAM - Dalam usaha mendekati dan menyantuni golongan muda pekebun kecil, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus mempergiat pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan melalui penganjuran Kejohanan Piala Pengerusi RISDA Peringkat Negeri Kedah 2025.
Kejohanan yang berlangsung meriah di Mini Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sungai Petani, Kedah pada Sabtu itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Generasi Muda Pekebun Kecil (GEMPAK).
Inisiatif strategik tersebut dirangka bagi memastikan kelestarian sektor getah negara melalui penyertaan aktif generasi muda seiring dengan aspirasi Desa Madani, hala tuju Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa desa yang progresif serta berdaya saing.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, penganjuran berkenaan merupakan komitmen berterusan pengurusan tertinggi RISDA untuk memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat desa, khususnya golongan muda yang bakal menjadi pelapis kepada sektor industri getah negara.
“Program GEMPAK bukan sekadar penganjuran aktiviti sukan semata-mata, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara RISDA dan generasi muda.
“Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap potensi pembangunan sosioekonomi desa melalui pelbagai bidang termasuk pertanian, peningkatan ekonomi, pendidikan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah kejohanan yang turut dihadiri Pengarah RISDA Negeri Kedah, Mohd Rosli Hassan.
Kejohanan kali ini menampilkan dua acara utama iaitu bola sepak dan bola jaring dengan penyertaan seramai 378 peserta terdiri daripada generasi muda pekebun kecil getah berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Acara bola sepak dimenangi oleh GEMPAK Parlimen Sik, manakala bola jaring dimenangi oleh GEMPAK Parlimen Sungai Petani.
Sebanyak 15 pasukan GEMPAK mewakili setiap Parlimen di Kedah, disertai satu pasukan khas daripada warga RISDA Kedah sekali gus menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan terbaik untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan belia desa.
Melalui platform GEMPAK, RISDA dilihat terus mengambil langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama komuniti pekebun kecil, seterusnya memelihara kelestarian sektor industri getah agar dapat diteruskan oleh golongan pelapis serta generasi muda berdaya saing.