Empat suspek rogol bergilir-gilir pelajar Tingkatan 3 dibuang sekolah - Ketua Pengarah Pendidikan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai insiden pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir senior dalam kelas, dirakam video.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah di Melaka telah dijatuhkan hukuman buang sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah selepas bersidang pada pagi Isnin selaras dengan peraturan sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan
Iklan

"Lembaga tatatertib yang bersidang pagi ini menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada semua suspek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, walaupun suspek dikenakan tindakan buang sekolah, ia tidak menjejaskan hak mereka sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdaftar, termasuk dari segi pengurusan peperiksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Lembaga Peperiksaan bagi calon di bawah tahanan atau rawatan.

"Suspek akan menduduki peperiksaan di pusat tahanan atau lokasi berasingan yang ditentukan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kawalan rapi bagi menjaga keselamatan semua pihak.

Iklan

“Kebenaran menduduki peperiksaan tidak bermakna mereka terlepas daripada hukuman. Proses undang-undang tetap berjalan,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan psikososial telah diberikan kepada mangsa bagi membantu pemulihan emosi dan mental, manakala siasatan polis terhadap kes itu masih diteruskan.

Beliau menegaskan bahawa KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan beriltizam memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang bersalah.

“Kementerian ingin memastikan mangsa mendapat bantuan terbaik, manakala pelaku jika dibuktikan bersalah akan menerima hukuman sewajarnya,” katanya lagi sambil menegaskan bahawa kesemua identiti pelajar dirahsiakan bagi melindungi hak mereka sebagai individu bawah umur, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azam berkata, semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai pendidikan daerah diarahkan supaya mempertingkat pemantauan di sekolah, termasuk melaksanakan lawatan mengejut bagi menilai tahap keselamatan asrama dan bilik darjah.

Audit keselamatan juga sedang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), melibatkan lebih 1,000 sekolah di seluruh negara.

Katanya, dapatan audit itu akan digabungkan dengan cadangan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah yang turut dianggotai UNICEF dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menghasilkan garis panduan keselamatan komprehensif menjelang Disember ini.

"Ia akan diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek," katanya.

Dalam pada itu, KPM turut menyeru masyarakat agar rasional dan tidak menghukum secara emosi pelajar terbabit, sebaliknya memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil.

“Anak-anak ini tetap anak kita. Kita tidak boleh layan mereka seperti penjenayah dewasa. Ada cara dan proses untuk menguruskan mereka di bawah undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa mangsa mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar senior.

Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dirakam dan dilihat oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah, kira-kira jam 2.50 petang minggu lalu.

Kesemua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan berdasarkan Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.