Perang lawan rasuah mesti sentuh akar budaya

Iklan
Usaha membanteras rasuah perlu difokuskan kepada pembinaan ekosistem antirasuah berteraskan pencegahan agar perubahan dapat berlaku secara menyeluruh. Foto hiasan (Gambar kecil: Nor Halmey)

SHAH ALAM - Perang melawan rasuah tidak boleh bergantung hanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya mesti menyentuh akar budaya organisasi serta membina semula nilai masyarakat berintegriti.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, usaha membanteras rasuah perlu difokuskan kepada pembinaan ekosistem antirasuah berteraskan pencegahan agar perubahan dapat berlaku secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, pendekatan itu termasuk memperkukuh ketelusan dalam perolehan awam melalui pendigitalan penuh tender kerajaan.

"Pendekatan lain merangkumi perlaksanaan audit sosial di peringkat komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memperkenalkan insentif integriti seperti pemberian markah tambahan kepada pegawai berprofil bersih.

Iklan

"Selain itu, pendidikan integriti perlu dimulakan dari sekolah bagi membentuk generasi yang memahami nilai amanah, tanggungjawab dan malu untuk berbuat salah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, pendidikan nilai perlu dijadikan teras dalam kurikulum dan budaya sekolah dan ia sejajar dengan pendekatan 'nation-building through character-building'.

Iklan

Nor Halmey turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kejayaan kerajaan mengembalikan RM15.5 bilion hasil negara dalam tempoh dua tahun, yang disifatkannya sebagai satu pencapaian penting dari segi keyakinan awam terhadap kemampuan kerajaan memulihkan integriti sistem pentadbiran.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa komitmen itu mesti diterjemahkan kepada pembaharuan struktur dan budaya dalam perkhidmatan awam, bukan sekadar operasi tangkapan besar-besaran.

Menurutnya lagi, ketelusan dan keberanian politik mesti seiring dalam memastikan hasrat Perdana Menteri melawan rasuah benar-benar menjadi realiti.

Beliau berpandangan, rakyat mahu melihat prinsip 'no one is above the law' dilaksanakan tanpa kompromi termasuk terhadap mereka yang berkuasa, bukan hanya penjawat bawahan.

Dalam perkembangan sama, Nor Halmey menegaskan, langkah membanteras rasuah bukan sekadar soal jumlah wang yang berjaya dikembalikan, tetapi lebih kepada usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem.

“Selagi ada kesungguhan politik, integriti pentadbiran dan kesedaran rakyat, Malaysia mampu muncul sebagai model negara Islam dan demokrasi yang bersih serta progresif di rantau ini,” tambahnya.