SHAH ALAM - Gabungan beberapa badan masyarakat sivil pada Ahad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyokong cadangan agar pengundi Sabah di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Gesaan itu dikemukakan menerusi kenyataan bersama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), ENGAGE, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak), serta Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).
Menurut kenyataan tersebut, SPR dan Perdana Menteri perlu menyatakan pendirian mereka secara jelas berhubung hak pengundi Sabah yang berada di luar negeri itu untuk mengundi awal atau secara pos, agar mereka tidak terpinggir daripada proses demokrasi dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
"Hak yang sama juga perlu dinikmati oleh pengundi Sarawak yang berada di Semenanjung dan Sabah dalam PRN Sarawak akan datang, yang mesti berlaku selewat-lewatnya pada April 2027," katanya.
Kenyataan itu menambah, jika cadangan itu ditolak, SPR dan kerajaan perlu memberikan penjelasan kepada rakyat, khususnya warga Sabah dan Sarawak yang layak mengundi.
"Jika SPR bersetuju pada prinsipnya untuk perlaksanaan undi awal atau undi pos bagi pengundi luar kawasan seperti pengundi Sabah di Semenanjung dan Sarawak, maka SPR diseru untuk ikhtiarkan perlaksanaannya dalam PRN Sabah ini," katanya.
Tambah kenyataan itu, jika tuntutan tersebut tidak dapat dilaksanakan dalam PRN Sabah kali ini, SPR perlu memberikan jadual masa dan peta perjalanan ke arah perlaksanaannya.
Ini kerana, kata mereka, pengundi perantau Sabah perlu mendapat jaminan bahawa tuntutan itu dapat direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), manakala pengundi perantau Sarawak turut mendapat jaminan yang sama menjelang PRN Sarawak akan datang.
"Begitu juga pengundi perantau Melaka dan Johor di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk PRN masing-masing yang akan berlaku pada tahun 2026 atau 2027," katanya.
Dalam pada itu, mereka menyarankan SPR memperincikan rancangan jangka sederhana dan panjang bagi menambah baik aksesibiliti pengundian untuk semua pengundi termasuk mereka yang berada di hospital dan penjara, termasuk peluasan kemudahan undi pos dan penerokaan kaedah lain yang selamat, telus dan inklusif, agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa kekangan besar.
"Hakikatnya, ramai pengundi Sabah dan Sarawak merantau kerana kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan di negeri sendiri. Tanpa kemudahan undi awal atau undi pos, pengundi perantau Sabah dan Sarawak sedang menghadapi dilema yang merugikan mereka.
"Mereka perlu melepaskan hak untuk mengundi di negeri sendiri dengan menukar alamat pendaftaran di SPR kepada tempat tinggal sementara yang tiada pertalian warisan dan kepentingan jangka panjang," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, mereka juga perlu membayar tambang tinggi untuk pengangkutan, bukan saja tambang pesawat, tetapi juga termasuk tambang perjalanan darat terutama di kawasan pedalaman yang boleh mencecah RM3,000 semata-mata untuk mengundi demi menentukan masa depan negeri sendiri.
"Atau mereka akan melepaskan saja hak mengundi kerana kurang upaya kewangan untuk pulang mengundi," katanya.