KULAI – Pusat Ekonomi Digital (NADI) bakal melaksanakan projek rintis penghantaran ubat menggunakan dron bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak menjelang penghujung tahun 2025.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di dua lokasi awal iaitu di Sibu, Sarawak serta di Tawau dan Pulau Banggi, Sabah.
Menurutnya, penggunaan teknologi dron itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai jarak jauh antara penempatan dan kemudahan kesihatan.
“Projek ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Melalui inisiatif ini, ubat akan diambil dari klinik kesihatan terpilih dan dihantar ke pusat NADI menggunakan dron, seterusnya pesakit boleh datang ke pusat berkenaan untuk mengambil ubat masing-masing.
“Selain memperkukuh kepelbagaian fungsi NADI, projek ini juga dilihat bakal memudahkan komuniti di pedalaman mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Kuil Sri Nagakanni, Bandar Putra Kulai, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, NADI turut menerima peruntukan RM350 juta menerusi Belanjawan 2026 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menampung kos operasi serta melaksanakan pelbagai program latihan keusahawanan digital di seluruh negara.
Malah katanya, sekiranya permintaan latihan meningkat, pihaknya akan menjemput jurulatih daripada platform e-dagang untuk melaksanakan sesi latihan tambahan seperti pembungkusan produk, rekaan poster dan strategi pemasaran digital.
“Antara fokus utama ialah membimbing usahawan desa menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.
“Program ini dijalankan dengan kerjasama platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok bagi menyediakan latihan serta bimbingan kepada mereka yang berminat menjadi e-usahawan,” jelasnya.