KUALA LUMPUR – Tiada lesen memandu, salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan beroperasi tanpa lesen pengendali antara kesalahan dikesan melibatkan pemandu warga asing yang ditahan menerusi Operasi Fokus Prebet Sapu di ibu negara pada Sabtu.
Operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama Ibu Pejabat JPJ Putrajaya itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Walter Granier.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu menahan 10 pemandu prebet sapu, termasuk beberapa warga asing yang dipercayai menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kebenaran.
Beliau berkata, operasi melibatkan seramai 70 anggota penguat kuasa JPJ, terdiri daripada 52 anggota JPJ WPKL dan 18 anggota JPJ Ibu Pejabat Putrajaya yang menjalankan pemeriksaan ke atas 27 kenderaan di lokasi tumpuan utama di pusat bandar.
"Antara pemandu yang ditahan terdiri daripada lima warga asing dari Bangladesh, Yaman, India dan Sudan serta lima lagi warga tempatan.
"Sebanyak 10 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, salah guna LKM dan beroperasi tanpa lesen pengendali," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Hamidi berkata, sebanyak 26 notis saman dikeluarkan hasil pemeriksaan dijalankan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Lima pemandu didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, seorang dikesan menyalahgunakan LKM, manakala 20 lagi beroperasi tanpa lesen pengendali atau Kebenaran Pengendali Awam (KPA).
"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan kenderaan disita serta dibawa ke mahkamah untuk dilucut hak jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau turut menegaskan, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kenderaan persendirian untuk tujuan komersial atau membenarkan warga asing memandunya tanpa lesen sah.
"Pemilik kenderaan juga bertanggungjawab sepenuhnya dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya kenderaan mereka digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen.
"Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti prebet sapu atau pemanduan tanpa lesen melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan haram itu di ibu negara,” katanya.