Lebih RM1 juta lesap gara-gara nak untung cepat

Iklan
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.

GEORGE TOWN- Seorang jurujual syarikat swasta di Bukit Mertajam mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian dikenali sebagai sandsm2s5.club yang menawarkan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada lelaki berusia 34 tahun pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa memaklumkan dia mula berurusan dengan sindiket berkenaan pada awal September selepas melihat iklan pelaburan tersebut di aplikasi Facebook.

“Mangsa tertarik dengan tawaran keuntungan sebanyak 50 peratus daripada jumlah pelaburan dalam tempoh masa singkat. Dia kemudian diberikan satu pautan untuk menyertai pelaburan itu.

Iklan

“Pada 3 September lalu, mangsa telah membuat transaksi pertama sebanyak RM300,000 ke dalam akaun sebuah syarikat tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, mangsa seterusnya membuat tujuh lagi transaksi berjumlah RM727,000 ke dalam lima akaun berbeza atas nama syarikat lain, antara 10 September hingga 9 Oktober lalu.

Iklan

"Mangsa hanya menyedari ditipu apabila pautan laman web tersebut tidak lagi boleh diakses dan nombor telefon individu yang dihubunginya sebelum itu turut tidak dapat dihubungi.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM1.1 juta.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat terutamanya yang dipromosikan melalui media sosial.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia melalui laman sesawang www.bnm.gov.my atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my bagi memastikan entiti atau individu yang menawarkan pelaburan itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Portal ‘Semak Sebelum Lebur’ turut disediakan bagi membantu pelabur membuat semakan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.