Jangkitan influenza di Pahang dalam keadaan terkawal

Iklan
Wan Rosdy (lima dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian HSN Peringkat Pahang di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis pada Sabtu. Foto Pahang Media

LIPIS - Situasi jangkitan influenza di Pahang masih berada dalam keadaan terkawal.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan yang menunjukkan peningkatan ketara kes jangkitan itu setakat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, orang ramai diminta supaya sentiasa menjaga kesihatan walaupun keadaan masih terkawal di negeri ini.

“Saya dimaklumkan setakat ini masih terkawal. Setakat ini juga saya belum menerima apa-apa maklumat mengenai penutupan sekolah,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Dataran Orang Kaya Haji, di sini pada Sabtu.

Ujar beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik sekiranya berasa tidak sihat.

Iklan

“Nasihat saya, jaga kesihatan, pakai pelitup muka. Kalau rasa kurang sihat, pergilah ke klinik segera.

“Jangan tunggu sampai teruk baru hendak pergi sebab kita tahu keadaan tubuh sendiri. Jika rasa tidak sedap badan, segeralah dapatkan rawatan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, mengulas sambutan HSN peringkat negeri yang julung kalinya diadakan di daerah ini, beliau mengalu-alukan penganjurannya kerana ia bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil tempatan.

“Program ini memberi manfaat kepada semua pihak, bukan sahaja untuk kesihatan individu tetapi juga kepada masyarakat setempat.

“Peniaga boleh mengambil peluang berniaga, manakala pengunjung dapat melihat sendiri pameran dan produk yang dipamerkan,” katanya.

Lebih 3,000 peserta hadir memeriahkan sambutan HSN peringkat negeri Pahang yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk orang ramai.