PGA lepas lima das tembakan gagalkan cubaan larikan PATI

Iklan
Anggota PGA terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan disyaki membawa PATI dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Telok Panglima Garang, pada Jumaat. Gambar hiasan

KUALA LANGAT – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Telok Panglima Garang di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu berlaku ketika Bahagian Task Force Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Briged Tengah PGA bersama anggota Pos PGA Pulau Carey menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pasukan operasi mulanya menahan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dan kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan warga Bangladesh disyaki PATI.

"Namun, pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit bertindak agresif dengan mengundur laju sehingga merempuh kenderaan pasukan dan turut terkena sebuah Perodua Myvi milik anggota polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, masa sama, pemandu Toyota Fortuner turut merempuh ke arah kenderaan pasukan menyebabkan dua anggota melepaskan lima das tembakan ke arah tayar belakang bagi menghalang cubaan melarikan diri.

"Selepas tembakan dilepaskan, pemandu 4x4 melarikan diri dengan memandu melawan arus, manakala Toyota Fortuner pula melepasi tol dan menuju ke Lebuhraya SKVE.

Iklan

"Ketika sedang mengejar, pasukan polis menemui Toyota Fortuner itu ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan pintu terbuka tanpa sebarang individu di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang barang salah dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Usaha mengesan semua suspek dan PATI terbabit masih diteruskan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Akmalrizal berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.