PDRM sudah sedia serap serangan pantas Kuala Lumpur

Iklan
Pemain PDRM, Taniela Tuirabe Senileba (tengah) dijangka taruhan berdepan Kuala Lumpur suku akhir Piala Agong di padang Pulapol, Sabtu ini. FOTO: RAGBI PDRM

PENGENDALI skuad ragbi Piala Agong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), K Dinesvaran menegaskan penyandang juara itu tidak akan terburu-buru melayani corak permainan pantas Kuala Lumpur.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan tersebut berkata, anak buahnya akan tampil lebih berdisiplin apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi suku akhir.

Iklan
Iklan

“Kuala Lumpur bermain dengan tempo tinggi dan corak mereka agak tidak berstruktur. Jadi kami akan lebih berhati-hati apabila mereka melancarkan serangan,” jelas Dinesvaran kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, PDRM dijadualkan menentang Kuala Lumpur di Padang Pulapol, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Iklan

Tambah Dinesvaran, tumpuan utama PDRM ialah mengekalkan keseimbangan antara pertahanan dan serangan agar tidak terperangkap dengan rentak agresif lawan.

“Kami tidak boleh terikut-ikut dengan tempo lawan. Fokus kami ialah mengekalkan disiplin dalam sistem bertahan, tapi pada masa sama bersedia mengambil peluang untuk menyerang balas,” ujarnya.

Iklan

Mengulas persediaan mental dan fizikal pasukannya menjelang fasa kalah mati, Dinesvaran menegaskan skuad bimbingannya kekal bersemangat tinggi dan tidak gentar berdepan tekanan perlawanan penting.

“Mentaliti kami sentiasa sama dari perlawanan pertama. Kami anggap setiap perlawanan seperti final,” katanya.

Sebagai rekod, PDRM mara ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan A, manakala Kuala Lumpur melangkah sebagai naib juara Kumpulan C.

Musim lalu, PDRM menjuarai Piala Agong selepas menewaskan Johor 43-29 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

INFO

PIALA AGONG 2025

SABTU (11 OKTOBER)

SUKU AKHIR

Terengganu lwn Kelantan

(Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, 3 petang)

Johor lwn Selangor

(Stdm Ragbi Johor, Mount Austin, 3 petang)

Perlis lwn ATM

(Padang B, Kompleks Sukan Syed Putra, 3 petang)