'Selamba pandu kenderaan tiada lesen, cukai jalan'

Iklan
Antara kenderaan yang diperiksa JPJ Selangor menerusi Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan baru-baru ini. Foto JPJ Selangor

SHAH ALAM - Tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh antara kesalahan utama yang dikesan menerusi Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di seluruh Selangor sejak dilaksanakan 1 September lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, statistik setakat 8 Oktober itu mengesan 13,805 kesalahan hasil pemeriksaan 60,112 kenderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenderaan yang diperiksa merangkumi kenderaan melebihi 7,500 kilogram (kg), kurang 7,500 kg, bas, kereta, motosikal dan lain-lain.

"Jumlah kesalahan tertinggi ialah LKM tamat tempoh (2,857 kes), tiada lesen memandu (2,647 kes), kesalahan teknikal (2,452 kes), tiada insurans (1,854 kes), tiada lesen kenderaan barangan (GDL) (1,286 kes), lebih muatan (559 kes) dan tayar (173 kes).

Iklan

"Nombor pendaftaran pula merekodkan 58 kes, cermin gelap (118 kes) dan selebihnya lain-lain kes," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Statistik setakat 8 Oktober itu mengesan 13,805 kesalahan hasil pemeriksaan 60,112 kenderaan. Foto JPJ Selangor

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 20,217 notis turut dikeluarkan membabitkan notis saman, larangan penggunaan kenderaan, arah periksa kenderaan, penahanan kenderaan, arah timbang serta temu siasat.

Tambahnya, pemandu yang tidak mempunyai lesen atau kenderaan tiada insurans, risiko yang ditanggung orang awam sangat besar sekiranya berlaku kemalangan.

"Tindakan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh.

"JPJ tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan kerana pematuhan undang-undang ialah tanggungjawab bersama, tidak ada alasan untuk mana-mana pengusaha atau pemandu mengabaikannya kerana keselamatan semua pengguna jalan raya perlu diutamakan," katanya.

Ops Khas Gempur Perdagangan dilaksanakan JPJ berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember ini di seluruh negara merupakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas semua kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan dan undang-undang jalan raya.

Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berserta Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.