GEORGE TOWN - Seorang pengutip besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1 di sini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga Sepanyol di pusat bandar pada September lalu.
N Kannan didakwa telah melakukan kesalahan merompak sebuah beg milik Sheyla Rodriguez Navarro, 26, di hadapan sebuah premis di Lorong Aboo Sittee di sini pada jam 6.15 pagi, 30 September lalu.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Tertuduh yang berusia 43 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
"Saya faham (pertuduhan) dan mengaku bersalah," katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Puteri Nor Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan pengakuan bersalahnya.
"Saya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya.
"Bagaimanapun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberi jaminan, saya mohon wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh," katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Juraidah sekali lagi bertanya kepada tertuduh mengenai penjamin yang akan menjaminnya.
"Kamu ada penjamin hari ini (yang akan menjamin kamu). Kamu masih mengaku bersalah?
"Kamu tiada peguam, nanti isi borang Yayasan Biro Guaman Kebangsaan," katanya.
Tertuduh sekali lagi membuat pengakuannya iaitu mengaku bersalah terhadap pertuduhan.
Selepas mendengar pengakuan tertuduh, Juraidah kemudiannya menetapkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Kes ditangguhkan sehingga 12 November ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Difahamkan, ketika kejadian, tertuduh sedang mencari besi buruk untuk dijual bagi membeli bekalan dadah.
Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, dia terserempak dengan mangsa lalu merompak beg tangannya.
Mangsa mengalami kerugian wang tunai kira-kira 200 Euro dan kehilangan pasport namun tidak mengalami sebarang kecederaan.