KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini pada Khamis diberitahu bahawa seorang pelajar telah mengeluarkan perkataan “bodoh” ketika menyoal Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menurut keterangan saksi ke-19 yang juga seorang kanak-kanak perempuan.
Inkues yang kini memasuki hari ke-20 itu berlangsung di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili pihak berkepentingan berkata, saksi berkenaan menegaskan bahawa tiada konflik peribadi antara dirinya dan Zara Qairina, malah keterangannya menjelaskan situasi sebelum dan semasa pertemuan dengan arwah pada malam kejadian.
“Sekitar jam 9 malam, 15 Julai 2025, saksi dimaklumkan oleh rakan sebiliknya bahawa dompet yang mengandungi wang dan kad pengenalan telah hilang. Rakan tersebut turut menyatakan syak terhadap Zara.
“Saksi kemudian meminta seorang pelajar lain memanggil Zara ke biliknya, dan pertemuan pertama hanya melibatkan saksi bersama rakan-rakannya. Saksi bertanya kepada Zara dengan soalan seperti ‘kau tahu kah dompet IC pelajar ini hilang?’ dan ‘kau ada curi kah barang pelajar ini?’. Zara menjawab, ‘tiada, saya tidak ambil’,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Tambahnya, Zara turut melafazkan sumpah “Wallahi” secara jelas bagi menafikan tuduhan mencuri barang tersebut.
“Tidak lama kemudian, seorang pelajar lain masuk dan bertanya beberapa soalan sebelum keluar dan kembali semula ke dorm bersama dua lagi pelajar. Mereka kemudian menyoal Zara mengenai kehilangan dompet itu.
“Saksi menyatakan bahawa dia sendiri ada berkata kepada Zara, ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga’, namun Zara tetap tidak mengaku,” katanya.
Shahlan berkata, saksi itu turut mengesahkan bahawa dia mendengar dengan jelas perkataan “bodoh” disebut oleh salah seorang pelajar ketika sesi soal jawab tersebut berlangsung, namun tidak pasti siapa yang mengucapkannya.
Menurutnya lagi, saksi tidak dapat mengingati berapa lama dia berada di dalam bilik ketika pertemuan itu berlangsung, dan tidak menyedari sebarang reaksi emosi luar biasa daripada Zara.
“Saksi memberitahu, selepas beberapa ketika, dia keluar dari bilik bersama dua pelajar lain manakala Zara masih bersama beberapa pelajar lain. Saksi menyatakan dia bercadang untuk tidur di dorm lain bersama beberapa rakan, dan telah memaklumkan kepada ketua dorm terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya lagi, saksi kemudian keluar dari dorm untuk tidur sekitar jam 10 malam dan tidak keluar antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi. Beliau dikejutkan oleh rakannya pada awal pagi dan dimaklumkan mengenai penemuan Zara yang terbaring di bawah bangunan asrama.
“Saksi berkata dia terkejut apabila melihat keadaan Zara dari tangga di aras tiga,” katanya.
Shahlan bersama pasukan peguamnya Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James — mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, yang merupakan pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.