Kembara Islamik Kedah buka mata, bina masyarakat melalui masjid

Iklan
Peserta Kembara Islamik Kedah turut sama mengikuti aktiviti tazkirah Subuh dan kuliah duha yang disampaikan oleh Tuan Guru Sheikh Muhd Zainul Asri di Pondok Darsa di Padang Terap.

ALOR SETAR- Program Kembara Islamik Kedah anjuran Masjid Mu'adz Bin Jabal, Kuala Lumpur bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menjadi medan menyuburkan jiwa dan mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan lebih 40 peserta yang menyertai kembara selama tiga hari di Kedah baru-baru ini.

Pengerusi Masjid Mu'adz Bin Jabal, Datuk Seri Zakaria Sulong berkata, program berkonsepkan dakwah dan lawatan ilmiah itu merupakan siri kelima selepas penganjuran di beberapa negeri dan negara lain termasuk Perak serta Singapura.

Iklan
Iklan

“Kembara ini membuka mata peserta tentang peranan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat. Ia bukan hanya tempat solat, tetapi ruang mendidik jiwa, menyemai kasih sayang dan membina komuniti yang kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut serta, Pengurus Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Iklan

Menurut Zakaria, walaupun Singapura berada di luar negara, pihaknya tetap menjalin hubungan erat melalui kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta beberapa masjid berhampiran sempadan Johor.

Perjalanan ke Kedah bermula dari Kuala Lumpur dengan menaiki ETS ke Sungai Petani sebelum peserta meneruskan eksplorasi ke destinasi dakwah dan sejarah di Kedah menggunakan bas khas.

Iklan

Antara lokasi yang dilawati termasuk Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Lembah Bujang, Masjid al-Busyro, Gunung Jerai, Ladang Nanas dan Dusun Riffa di Changlun, Pekan Rabu, Pondok Darsa, Muzium Padi, Masjid Zahir serta Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Peserta bukan sahaja menimba ilmu, tetapi turut merasai keindahan alam Kedah, keramahan penduduk dan semangat masyarakat setempat dalam mengimarahkan masjid,” ujar Zakaria.

Beliau berkata, antara peserta yang menyertai program kali ini termasuk golongan wanita berusia lebih 60 tahun yang turut sama mengikuti aktiviti tazkirah Subuh dan kuliah dhuha yang disampaikan oleh Tuan Guru Sheikh Muhd Zainul Asri di Pondok Darsa, Padang Terap.

Menurutnya, pengalaman sebagai bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London dan diplomat di beberapa tempat lain seperti Berlin digunakan sepenuhnya untuk membangunkan masyarakat melalui masjid.

“Dulu saya berkhidmat di luar negara, kini saya gunakan pengalaman itu untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid. Kembara seperti ini penting untuk mendidik jiwa dan mengeratkan persaudaraan Islam,” katanya lagi.

Program tersebut turut mendapat pujian peserta yang menyifatkan ia sebagai pengalaman rohani yang membuka hati dan memberi perspektif baharu tentang peranan masjid dalam kehidupan seharian.

Zakaria menegaskan bahawa pihak masjid akan terus menganjurkan program seumpama itu sebagai usaha berterusan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bersatu hati.