Rempuh bot polis Marin, 10 PATI jatuh laut sebelum diberkas

Iklan
Beberapa PATI diselamatkan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tanjung Kupang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Cubaan meloloskan diri daripada pihak berkuasa membawa padah apabila sebuah bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) merempuh bot Pasukan Polis Marin (PPM) menyebabkan kesemua 10 penumpangnya jatuh ke laut dalam insiden awal pagi Rabu.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi di perairan Tanjung Pelepas, apabila bot rondaan PPM PC 4 mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari daratan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bot itu enggan berhenti walaupun diarahkan untuk pemeriksaan dan bertindak melarikan diri menyebabkan anggota PPM mengejarnya.

“Ketika cuba mengelak, bot suspek telah melanggar bot rondaan PPM dan akibat pelanggaran itu, kesemua 10 individu yang berada di atas bot terbabit terjatuh ke laut.

Iklan

“Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Kupang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya warga Myanmar, berusia antara 21 hingga 48 tahun.

Iklan

"Tiada seorang pun daripada mereka memiliki dokumen perjalanan sah.

"Pihak polis turut merampas sebuah bot gentian kaca sepanjang 21 kaki bersama enjin 40 kuasa kuda jenama Suzuki, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM25,500.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 338 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah Ab Rahaman, operasi tersebut adalah sebahagian daripada Op Taring Gelora yang digerakkan bagi memperketat kawalan di perairan Johor daripada sebarang aktiviti penyeludupan manusia.