PADANG TERAP – Seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi yang dipercayai menjadi dalang dalam kes kecurian komponen pencawang pemancar telekomunikasi di lima daerah sekitar Kedah akhirnya diberkas polis dalam satu serbuan di Pendang, baru-baru ini.
Suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 31 Oktober lalu, kurang tiga jam selepas polis menerima laporan berhubung gangguan talian di Kampung Tanjung di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dengan kerjasama Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
“Hasil serbuan di rumah suspek di Pendang membawa kepada rampasan beberapa komponen alat komunikasi dan pencawang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua laporan polis yang diterima.
"Bagi kes kecurian komponen pencawang di daerah ini sahaja, kerugian dianggarkan mencecah RM112,000,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Padang Terap pada Khamis.
Jelasnya, suspek dipercayai bertindak seorang diri menggunakan sebuah kereta Perodua Myvi milik adiknya untuk menjalankan kegiatan jenayah tersebut di lokasi terpencil dan sunyi termasuk kawasan hujung kampung.
“Suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu turut mempunyai enam rekod jenayah lampau, iaitu dua berkaitan kes curi dan empat berkaitan kes dadah. Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” ujarnya.
Abdull Razak berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga tempatan masing-masing berusia 31 dan 51 tahun, yang dipercayai pembeli komponen curi tersebut dalam serbuan berasingan di sekitar Alor Setar keesokan harinya.
“Komponen yang dicuri, termasuk tembaga dalam kabel, dipercayai dijual untuk mendapatkan bekalan dadah. Suspek utama juga dipercayai terlibat dalam 21 kes kecurian komponen pencawang di daerah Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Padang Terap dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM600,000,” katanya.
Kesemua suspek kini ditahan reman di IPD Padang Terap bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah curi, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah seumpama itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan aset awam sentiasa terpelihara,” tegas Abdull Razak.