KETIKA kapal Global Sumud Flotilla (GSF) memulakan pelayaran menuju Gaza, dunia menaruh harapan bahawa konvoi kemanusiaan ini bakal menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang terperangkap di bawah sekatan Israel.
Namun, harapan itu disambut dengan kekejaman, apabila kapal ditahan secara ganas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Sukarelawan dari Malaysia dan pelbagai negara yang menaiki kapal tersebut tidak bersenjata. Mereka membawa makanan kering, ubat-ubatan, pakaian serta simbol perpaduan kemanusiaan.
Namun, rejim Israel memilih untuk memfitnah, mendakwa flotilla itu tidak membawa sebarang bantuan dan menuduh mereka kononnya menjalankan misi provokatif.
Kenyataan itu ternyata satu pembohongan yang terang-terangan. Bukti-bukti jelas daripada organisasi antarabangsa dan video dokumentasi menunjukkan kargo kapal berisi bekalan keperluan asas, malah disahkan oleh pemerhati bebas sebelum pelayaran bermula.
Tetapi seperti biasa, Israel cuba memanipulasi naratif agar dunia terus mempercayai propaganda mereka.
Lebih menyedihkan, laporan daripada aktivis yang dibebaskan mendedahkan layanan kejam sepanjang tahanan. Ada yang digari, disoal siasat tanpa peguam, dan diancam secara fizikal. Ada juga yang dipisahkan daripada rakan sepasukan dan dinafikan hak komunikasi selama berjam-jam.
Semua ini dilakukan terhadap sukarelawan yang datang membawa bantuan, bukan senjata.
Namun, tindakan tidak berperikemanusiaan itu akhirnya memakan diri Israel sendiri. Ketika mereka berusaha menutup kebenaran, dunia mula membuka mata.
Sekitar 15,000 orang berarak di Barcelona. Di Dublin pula ratusan berkumpul di hadapan Parlimen Ireland untuk menunjukkan sokongan terhadap flotilla serta sekitar 1,000 orang menyertai protes di Paris.
Ribuan juga turun di jalanan di Rom, Milan, Torino, Florence dan Bologna dengan kesatuan utama Itali menyeru mogok besar-besaran sebagai tanda solidariti terhadap misi GSF.
Di Istanbul, ribuan penunjuk perasaan berarak menuju kedutaan Israel dengan membawa sepanduk menggesa sekatan penuh terhadap negara itu.
Di Brussels, kira-kira 3,000 orang berhimpun di hadapan Parlimen Eropah dengan sepanduk menuntut Kesatuan Eropah (EU) menghentikan kerjasama kewangan dengan Israel.
Protes serupa turut berlangsung di Geneva dan Athens dengan penunjuk perasaan mengecam Israel sebagai negara apartheid dan mendesak laluan bantuan ke Gaza dibuka segera.
Gelombang solidariti ini bukan kebetulan. Ia lahir daripada rasa marah dan kecewa terhadap kekejaman yang kini tidak lagi boleh disembunyikan.
Dunia menyaksikan bagaimana rejim yang mendakwa diri sebagai demokrasi Asia Barat bertindak seperti penjenayah perang menahan aktivis, menyeksa rakyat, memusnahkan hospital dan rumah ibadah, semuanya atas nama keselamatan.
Malaysia pula berdiri teguh di barisan hadapan menentang kezaliman ini. Pembebasan sukarelawan kita bukan hanya kemenangan diplomasi, tetapi juga simbol keteguhan bangsa yang tidak gentar bersuara untuk keadilan.
Kesedaran
Misi GSF mungkin dihalang secara fizikal, tetapi semangatnya kini berlayar jauh lebih luas daripada laut Mediterranean.
Ia telah menyatukan manusia di seluruh dunia dalam satu kesedaran baru bahawa penderitaan di Gaza bukan lagi isu agama atau politik semata-mata, tetapi isu hak asasi manusia sejagat.
Israel boleh menahan aktivis, boleh menutup kamera, tetapi tidak akan mampu menahan gelombang kebangkitan suara rakyat dunia.
Dan di sinilah makna sebenar Sumud keteguhan hati untuk tidak tunduk kepada kezaliman walau dipenjara, diseksa, atau difitnah.
Kekejaman Israel mungkin mengoyak tubuh, tetapi ia tidak akan pernah mematahkan semangat manusia yang percaya kepada kebenaran.
Malu la kamu, Israel. Sebab akhirnya, kapal kecil itulah yang membuka mata dunia bahawa kebenaran, walau ditahan di tengah laut, tetap akan sampai ke darat.
*Wan Nor Rosida Wan Hamad ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian