KOTA KINABALU - Saksi ke-18 yang juga kanak-kanak kesembilan memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia sendiri bersama rakan dan Allahyarhamah Zara Qairina pernah kehilangan wang dan pemeriksaan turut dilakukan berhubung kejadian itu.
Saksi memberikan keterangan tersebut dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang memasuki hari ke-19 di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, keterangan disambung dengan saksi yang mengenali Zara Qairina sebagai rakan sekolah.
"Saksi memaklumkan bahawa pada malam kejadian, Zara telah dipanggil oleh beberapa pelajar untuk berjumpa dengan pelajar di sebelah 'dorm' Zara berhubung kehilangan kad bank milik pelajar lain.
Saksi berkata pelajar yang kehilangan kad bank itu mengesyaki Zara.
"Semasa Zara di bilik sebelah, beberapa pelajar telah melakukan spot check pada loker dan bag Zara. Spot check itu dibuat dalam bilik saksi sebab terdapat pelajar lain kehilangan duit. Saksi menyatakan bahawa terdapat beberapa pelajar lain yang telah memeriksa barang-barang Zara dan menemui sebatang dua lencana pin bendera," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahamah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.
Mohd Syarulnizam berkata lagi, saksi memaklumkan kira-kira jam 11 malam, saksi melihat Zara Qairina masuk semula ke biliknya dan kelihatan dalam keadaan seperti marah.
"Zara menutup loker dan terus baring di lantai sambil menangis di depan almarinya. Zara menjerit menafikan tuduhan mencuri dalam keadaan emosi terganggu.
"Saksi juga ada menceritakan bahawa saksi sendiri pada sekitar bulan puasa dia dan rakannya serta Zara sendiri pernah kehilangan duit dan spot
check juga telah dilakukan
"Saksi berkata ada cikgu kaunseling panggil saksi ini untuk temuduga. Tetapi cikgu tersebut tidak bertanya kepada saksi mengenai kejadian pada malam kejadian 15 Julai," katanya.
Mohd Syarulnizam turut berkata, saksi memaklumkan bahawa dia tahu Zara Qairina mempunyai buku tulisan peribadi yang biasa ditulisnya apabila berasa rindu terhadap rakan-rakan sekolah lamanya.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James merupakan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.