FFCxTMTG: Sukarelawan dibawa ke pelabuhan Israel, Adalah tuntut akses segera

Iklan
Kenyataan Adalah yang dikeluarkan pada Rabu.

SERDANG – Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) memaklumkan bahawa peserta misi gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang kini ditahan sedang dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel.

Dalam satu kenyataan, Adalah memaklumkan pihaknya telah menulis kepada pihak berkuasa Israel bahawa pertubuhan itu akan mewakili kesemua 145 peserta misi kemanusiaan berkenaan.

Iklan
Iklan

Adalah turut menuntut agar akses segera diberikan kepada peserta sebaik mereka tiba di Israel dan menegaskan bahawa pihaknya akan mencabar penahanan haram serta rampasan kapal bersama bantuan yang dibawa.

“Misi baharu ini berlayar dengan kira-kira 145 peserta dari seluruh dunia bertujuan mencabar sekatan haram Israel terhadap Gaza.

Iklan

“Serangan rejim Zionis terhadap orang awam tidak bersenjata di laut serta rampasan kapal-kapal kemanusiaan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan sekali lagi menonjolkan kekebalan tindakan Israel,” katanya pada Rabu.

Pada masa sama, Adalah mengecam serangan Israel dan tindakan pemintasan haram terhadap kapal utama FFC, Conscience, serta lapan kapal layar Thousand Madleens di perairan antarabangsa, kira-kira 120 batu nautika dari Gaza.

Iklan

“Kapal-kapal tersebut membawa peserta antarabangsa termasuk doktor, jururawat dan wartawan.

“Mereka berlayar bagi mencabar sekatan haram Israel terhadap Gaza. Sebelum komunikasi terputus, peserta melaporkan serangan oleh helikopter tentera dan tindakan tentera laut Israel menaiki kapal mereka,” jelas kenyataan itu.