SUNGAI PETANI – Seramai 22 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok disahkan positif influenza, bagaimanapun keadaan dilaporkan terkawal.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, walaupun jumlah pelajar yang mengalami gejala agak tinggi, namun tiada kes serius dilaporkan setakat ini.
“Maklumat awal menunjukkan seramai 302 pelajar terlibat dengan influenza, namun hanya 22 pelajar memerlukan rawatan lanjut manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang selepas pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mansor, kebanyakan pelajar yang mempunyai simptom dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi meneruskan pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Langkah itu bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan pelajar lain memandangkan penyakit ini mudah merebak, terutama apabila mereka tidak memakai pelitup muka.
“Mereka ini ramai dari Kedah, sebahagian dibenarkan pulang kecuali pelajar Tingkatan Lima,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda sudah turun ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta pemeriksaan terhadap pelajar terbabit.
“Langkah pencegahan turut disarankan termasuk memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan mengamalkan etika batuk yang betul,” katanya.
Beliau berkata, situasi kini berada di bawah kawalan berikutan tindakan awal telah diambil oleh pihak kesihatan.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial menggunakan nama Yuzlie Yusof mendakwa kebanyakan klinik di bandar ini sudah kehabisan ubat bagi merawat kes influenza.
Dakwanya, dia terpaksa mendapatkan kit ujian di Bagan, Pulau Pinang setelah semua farmasi di Sungai Petani kehabisan alatan berkenaan.
"Kakak dia kata...get well soon bro. Satu rumah influenza A. Kebanyakan klinik kat SP (Sungai Petani) ubat untuk influenza dah habis. Test kit...habis wei. Beli kat Bagan.
"Kakak dia la kesian esok start exam. Tak boleh ambil exam la," tulisnya di Facebook.