KOTA BHARU - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyeru penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir supaya mendaftar lebih awal menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan penyelarasan dan bantuan sewaktu bencana berlaku.
Pengarah Bahagian Mitigasi Nadma, Ir Ahmad Shahrir Md Naziri berkata, pendaftaran tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran hanya perlu mengisi maklumat yang diperlukan.
"Sekiranya ada keperluan ke PPS (pusat pemindahan sementara) bantuan akan terus dapat disampaikan tanpa perlu ada pendaftaran, isi borang lagi.
"Pendaftaran awal melalui aplikasi di bawah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ini merupakan antara penambahbaikan yang kita buat untuk memudahkan rakyat serta mengurangkan isu di PPS," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau hadir sempena Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang di Hotel Renai di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
Mengulas lanjut Ahmad Shahrir berkata, Nadma menjangkakan episod banjir akan bermula pada November ini dan berterusan sehingga Disember, justeru kesiapsiagaan di semua peringkat kini dipertingkatkan.
Ujarnya, 1,912 kawasan hotspot banjir di seluruh negara sudah dikenal pasti dengan Sabah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 318 kawasan diikuti Sarawak (236) dan Kedah (221).
Ahmad Shahrir memberitahu, di negeri Pantai Timur, Pahang mencatatkan 172 kawasan hotspot banjir diikuti Kelantan (26) dan Terengganu (17).
Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak 258 unit pam air bergerak di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk 49 unit tambahan daripada Nadma telah bersiap sedia untuk digerakkan ke lokasi terjejas.
"Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pula akan diadakan pada 13 Oktober ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," jelasnya.