PUTRAJAYA - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang melarang penjawat awam daripada terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras.
Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, pendirian itu sejajar dengan prinsip integriti, maruah dan profesionalisme yang perlu dijunjung tinggi oleh setiap penjawat awam.
"Sebagai anggota perkhidmatan yang berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan, setiap pegawai perlu memastikan imej jabatan serta reputasi perkhidmatan awam tidak tercemar dengan penglibatan dalam aktiviti yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Selasa, CUEPACS menegaskan pendirian bahawa penjawat awam tidak dibenarkan sama sekali untuk terbabit sebarang aktiviti atau majlis yang dihidangkan minuman keras dan beralkohol, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata sebagai penjawat awam yang berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan, setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej serta maruah perkhidmatan awam.
Katanya, ia selaras nilai profesionalisme serta tatakelakuan ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Berikutan itu, Ajeet Singh menegaskan KPISM turut menyokong saranan CUEPACS agar setiap penjawat awam lebih berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur sekiranya dijemput ke mana-mana majlis yang disyaki melibatkan hidangan alkohol.
Tambahnya, jika terdapat sebarang keraguan, penjawat awam dinasihatkan menolak jemputan tersebut serta memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, KPISM menyeru pihak swasta dan industri agar sentiasa menghormati sensitiviti agama serta budaya negara, khususnya apabila majlis rasmi turut dihadiri oleh penjawat awam.
"Malaysia ialah negara majmuk yang menekankan nilai kesopanan, kesusilaan dan saling menghormati kepercayaan agama.
"Justeru, penganjur majlis perlu sentiasa peka terhadap norma serta etika rasmi perkhidmatan kerajaan," katanya.
KPISM menegaskan komitmen untuk terus menyokong setiap usaha memperkukuh integriti dan imej perkhidmatan awam bagi memastikan profesion ini kekal dihormati, berwibawa dan beretika tinggi.