KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mempertingkat kawalan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan kad pengenalan orang lain untuk menikmati subsidi petrol RON95 di bawah Program Subsidi Bersasar BUDI MADANI (BUDI95).
Pengarahnya, Mohd Sabri Seman berkata, tindakan itu bagi mengekang penyalahgunaan identiti yang boleh menjejaskan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) di semua stesen minyak.
"KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan kad pengenalan individu lain bagi tujuan penyalahgunaan subsidi.
"Pegawai penguat kuasa kami mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memeriksa kad pengenalan pengguna, namun pemeriksaan hanya dibuat apabila perlu sebagai langkah kawalan munasabah," katanya pada Selasa.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan di semua stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sejak pelaksanaan penuh BUDI95 pada 30 September lalu bagi memastikan sistem SKPS beroperasi lancar tanpa sebarang gangguan.
"Setakat ini, 101 anggota penguat kuasa KPDN telah digerakkan untuk membuat pemeriksaan di 196 stesen minyak dan tiada sebarang masalah dikesan," katanya.
Menurutnya, sistem SKPS dan BUDI95 membolehkan semua transaksi jual beli direkod secara digital dan telus serta membantu mengesan aktiviti mencurigakan termasuk pembelian berulang atau dalam jumlah tidak munasabah.
"Pendekatan ini menutup ruang manipulasi serta penyelewengan, selain menyekat modus operandi penyeludupan petrol bersubsidi yang pernah berlaku sebelum ini.
"Kenderaan berpendaftaran asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 selaras dengan dasar kerajaan bagi memastikan subsidi RON95 tidak dinikmati pihak tidak layak," katanya.
Mohd Sabri berkata, pengusaha stesen minyak diingatkan supaya melakukan semakan harian ke atas peranti SKPS, memberi penerangan kepada pekerja.
"Selain itu, stesen minyak juga perlu mempamerkan manual pengguna di setiap pam dan membuka kaunter bantuan pendaftaran MySubsidi serta Fleetcard bagi memudahkan pengguna.
"Orang ramai yang menghadapi sebarang masalah berkaitan pelaksanaan SKPS atau BUDI95 boleh menyalurkan aduan melalui portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my), talian 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, atau aplikasi Ez ADU KPDN," katanya.