SEPANG – Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini bertukar pilu apabila tangisan kelegaan dan kesyukuran mengiringi kepulangan 27 sukarelawan Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketibaan mereka yang menaiki penerbangan Emirates EK432 pada jam 10.07 malam itu disambut oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa kenamaan lain.
Suasana penuh emosi itu turut memperlihatkan ahli keluarga masing-masing memeluk erat insan tersayang dengan linangan air mata.
Jeritan dan laungan “Free Palestine” serta “Allahuakbar” bergema sebaik sahaja kesemua delegasi Sumud Nusantara memasuki balai ketibaan.
Sebelum ini, seramai 23 sukarelawan GSF terbabit telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika menghampiri perairan Gaza.
Mereka ialah Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Zizi Kirana, Danish Nazran Murad dan Ardell Aryana.
Turut ditahan ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif.
Empat lagi aktivis yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong dan tidak memasuki Zon Merah berada dalam keadaan selamat selepas kapal mereka berlabuh di Pelabuhan Paphos, Cyprus.
Mereka ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian Seman, Serieffa Mushtafa Albakry dan Ariff Budiman.
Kesemua aktivis Malaysia itu dibebaskan oleh rejim Israel pada 4 Oktober lalu selepas ditahan secara tidak sah apabila kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serta ubat-ubatan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.
Mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus serta ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.
Misi GSF disertai kira-kira 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia yang belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.