PRM 2.0: Tak pulang bertahun, keluarga sakit antara alasan PATI serah diri

Iklan
Antara warga asing yang hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk PRM 2.0. Gambar kecil: Wan Mohammed Saupee

KUALA LUMPUR – Lama tidak pulang ke kampung, keluarga sakit serta ditipu ejen pekerjaan antara alasan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menyerah diri kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, sehingga kini seramai 7,595 PATI dari pelbagai negara telah mengambil peluang menyertai PRM 2.0 di Kuala Lumpur sejak program itu bermula pada Mei hingga September lalu.

Iklan
Iklan

“Sambutan luar biasa itu menyebabkan ramai PATI sanggup beratur dan menunggu seawal jam 9 atau 10 malam bagi mendapatkan giliran keesokan harinya,” katanya.

Jelasnya, proses permohonan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa prosedur termasuk pengambilan gambar, cap jari serta semakan dokumen. Kapasiti pemprosesan harian JIM Kuala Lumpur pula dihadkan kepada 150 permohonan sehari.

Iklan

“Saya sarankan kepada mereka yang mahu menyertai PRM 2.0 supaya pergi ke pejabat JIM di negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah atau Negeri Sembilan yang kurang sesak berbanding di sini,” katanya.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan mereka yang menyerah diri kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa selepas tinggal lebih 10 tahun di Malaysia secara haram.

Iklan

“Warga asing tertinggi yang menyertai PRM 2.0 ialah dari Indonesia, Bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka.

“Mereka menyerahkan diri kerana tidak mahu dikenakan tindakan sekiranya ditangkap menerusi operasi atau pemeriksaan rawak,” ujarnya.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur bagi membanteras kebanjiran PATI.

Tegasnya, PATI yang menyerah diri di bawah PRM hanya perlu membayar denda RM500 dan membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal masing-masing, berbanding hukuman penjara serta denda ribuan ringgit sekiranya ditangkap dan disabit kesalahan di mahkamah.

“Kalau kena tangkap, mereka akan direman sehingga 14 hari dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara serta didenda sebelum dihantar pulang.

"Jadi saya beri amaran kepada semua PATI di luar sana supaya segera menyertai PRM ini dengan hadir ke mana-mana pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM di setiap negeri,” katanya.

Untuk rekod, PRM 2.0 berlangsung dari 19 Mei 2024 hingga 30 April 2026 bagi memberi peluang kepada PATI pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan.

Antara syarat utama ialah warga asing mesti mempunyai pasport, tiket penerbangan pulang dalam tempoh 14 hari, hadir ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM dan membayar kompaun berkaitan.

PATI yang layak dan permohonan diluluskan perlu membayar RM20 bagi mendapatkan pas khas sementara menunggu tarikh penerbangan, manakala mereka yang disenarai hitam atau mempunyai waran tangkap tidak dibenarkan menyertai program tersebut.