Warga emas dipenjara 11 bulan, denda RM30,000 angkut migran Myanmar

Iklan
Seorang warga emas dihukum penjara 11 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di Kota Bharu pada Selasa selepas mengaku bersalah mengangkut lima migran warganegara Myanmar pada November tahun lalu. - Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang warga emas dihukum penjara 11 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mengangkut lima migran warganegara Myanmar pada November tahun lalu.

Tertuduh, Vijaendran M N Vadiveloo, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hasbullah Adam.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing didapati mengangkut lima warga Myanmar menggunakan kereta jenis Perodua Alza di lampu isyarat Batu Balai, Kuala Krai, pada kira-kira jam 2 pagi, 5 November tahun lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime di bawah seliaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Shaharuddin memaklumkan bahawa anak guamnya seorang vegetarian dan mengalami masalah kesihatan semasa berada dalam tahanan penjara.

Iklan

Mahkamah mengambil kira faktor usia tertuduh yang lanjut serta keadaan kesihatannya sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan dilakukan.