Sindiket tumpas, tak sempat jadikan rumah sewa sebagai makmal dadah

Iklan
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dijalankan pada 1 Oktober lalu.

SHAH ALAM – Sindiket pengedaran dadah tumpas sebelum sempat menjadikan sebuah rumah teres yang disewa di kawasan Subang Jaya sebagai makmal pemprosesan dadah apabila kegiatan dijalankan itu terbongkar dalam serbuan pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, premis berkenaan dipercayai sudah dijadikan pusat penyimpanan dadah dan dalam proses diubah suai menjadi makmal pemprosesan bahan terlarang itu sebelum diserbu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi jam 5.50 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan di dalam sebuah kenderaan jenis Volkswagen di hadapan sebuah rumah.

"Pemeriksaan dalam rumah terbabit kemudiannya menangkap tiga lagi individu terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita tempatan sebelum menemukan dadah jenis syabu sebanyak 1.59 kilogram dan ekstasi sebanyak 100 gram," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Katanya, soal siasat dijalankan kemudian membawa kepada serbuan sebuah lagi unit rumah teres di kawasan sama.

Iklan

"Serbuan di rumah kedua telah menemui 115.89 kilogram pil serta serbuk ecstasy, 20.4 kilogram heroin, 1.8 kilogram heroin base, 17 botol cecair kimia dan tiga botol serbuk kimia.

"Siasatan mendapati premis ini dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dadah dan sedang dalam proses dijadikan makmal pemprosesan dadah," katanya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati dalang utama sindiket turut berada dalam kalangan suspek yang ditahan.

"Semua enam suspek ditahan berusia antara 30 hingga 56 tahun terdiri daripada penganggur, jurujual kenderaan terpakai, pengurus cawangan syarikat serta penjual haiwan peliharaan.

"Seorang suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala selebihnya mempunyai rekod kesalahan dadah, kesemua mereka juga didapati positif dadah hasil saringan air kencing," katanya.

Shazeli berkata, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM19.76 juta dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Polis turut menyita sebuah Infiniti Q50 bernilai RM45,000, sebuah Honda CR-V bernilai RM110,000 serta wang tunai berjumlah RM2,850 di bawah Akta Pelucuthakan Harta 1988.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.