KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kesan darah yang ditemui pada beberapa kepingan kertas yang dijadikan bahan eksibit dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) pelajar Tingkatan Satu itu.
Perkara itu disahkan oleh saksi ke-17, ahli kimia, Nor Aidora Saedon, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
“Satu profil DNA perempuan telah diperoleh daripada kesan darah pada kertas ‘WK15(9)(a)’, meliputi tujuh kawasan iaitu ‘Y8’ [kawasan ‘Y8(ii)’, ‘Y8(iii)’, ‘Y8(iv)’, ‘Y8(v)’, ‘Y8(vi)’ dan ‘Y8(vii)’] serta ‘Y1’ [kawasan ‘Y1(i)’ dan ‘Y1(ii)’],” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesan DNA surih pada buku ‘WK13’ berpadanan antara satu sama lain dan sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang ‘WK37’ yang dilabel ‘Zara Qairina binti Mahathir’.
“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti berasal daripada individu yang sama,” katanya.
Sebelum itu, Nor Aidora menjelaskan kepada mahkamah bahawa DNA surih ialah DNA yang diperoleh hasil sentuhan, sama ada melalui pemindahan secara langsung atau tidak langsung.
“DNA surih bukan berasal daripada darah atau air mani, sebaliknya wujud dalam kuantiti yang sangat kecil dan boleh terbentuk melalui sentuhan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” jelasnya.
Ketika memberi keterangan, saksi berusia 52 tahun itu turut membuat pengecaman bagi penandaan terhadap 37 barang kes yang dijadikan bahan eksibit.
Sebanyak 37 barang kes tersebut melibatkan barangan peribadi dan sampel biologi milik Zara Qairina.
Antara barangan peribadi yang ditandakan sebagai bahan eksibit ialah baju-T, seluar panjang, pakaian dalam, selipar, buku latihan, jam tangan, tudung, selimut, dompet dan sarung tangan.
Sementara itu, sampel biologi yang dijadikan eksibit melibatkan keratan kuku dan spesimen tulang.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.