Gelombang solidariti, sokongan dunia terhadap Palestin terus meningkat

Iklan
Penyokong Jamaat-e-Islami, sebuah parti politik Islam, berkumpul untuk menyatakan solidariti mereka dengan rakyat Palestin semasa protes anti-Israel di Karachi. Foto AFP

SOKONGAN masyarakat dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin kini menunjukkan perubahan ketara berbanding dua tahun lalu, khususnya selepas insiden serangan tentera Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023.

Jika sebelum ini isu Palestin sering kali disempitkan dalam kerangka politik dan keselamatan serantau, kini ia menjadi isu kemanusiaan sejagat yang mencetuskan kesedaran global.

Iklan
Iklan

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid pada Isnin menegaskan bahawa masyarakat dunia semakin memahami hakikat sebenar kekejaman rejim zionis yang memperlihatkan ciri-ciri genosid.

Gambaran penderitaan luar biasa rakyat Gaza termasuk kemusnahan infrastruktur asas, kehilangan puluhan ribuan nyawa dan sekatan kemanusiaan berpanjangan dilihat telah membuka mata banyak pihak terhadap realiti penindasan yang berlaku.

Iklan

Perubahan ini bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan rakyat biasa di seluruh dunia yang semakin aktif menzahirkan solidariti melalui protes, kutipan dana dan kempen kesedaran digital, tetapi turut meresap ke peringkat kerajaan.

Beberapa negara luar termasuk Barat kini dilihat lebih berani menyuarakan pendirian kritikal terhadap Israel, malah ada yang menilai semula hubungan diplomatik dan sokongan ketenteraan kepada rejim tersebut.

Iklan

Ini menandakan perubahan signifikan dalam lanskap geopolitik antarabangsa apabila isu Palestin tidak lagi dilihat sebagai ‘konflik Timur Tengah’, sebaliknya sebagai isu hak asasi manusia global.

Perkembangan ini turut menjadi pemangkin kepada gerakan kemanusiaan seperti misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang digerakkan baru-baru ini.

Misi tersebut menghimpunkan aktivis dan sukarelawan dari pelbagai negara, termasuk dari Malaysia, yang nekad menghantar bantuan terus ke Gaza walaupun berdepan risiko tinggi akibat sekatan Israel.

Keberanian dan kesungguhan mereka mencerminkan semangat solidariti antarabangsa yang semakin kukuh terhadap Palestin, di samping menjadi simbol penentangan terhadap ketidakadilan global.

Melihat kepada gelombang sokongan yang semakin meluas ini, dijangka lebih banyak negara akan tampil memperkukuh pendirian mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Sokongan itu mungkin diterjemahkan melalui tindakan diplomatik, tekanan politik terhadap Israel, mahupun sokongan langsung kepada usaha kemanusiaan di Gaza.

Dalam masa yang sama, gerakan solidariti seperti flotilla, konvoi bantuan dan kempen kemanusiaan antarabangsa dijangka akan terus digerakkan secara berterusan.

Meskipun berdepan pelbagai halangan, termasuk ugutan dan tindakan keras rejim zionis, semangat kemanusiaan yang digerakkan atas nama keadilan dan kemerdekaan Palestin diyakini tidak akan luntur.

Akhirnya, perubahan arus sokongan ini memperlihatkan satu hakikat penting bahawa perjuangan Palestin bukan lagi perjuangan satu bangsa atau agama, tetapi perjuangan menuntut hak asasi manusia sejagat yang disokong oleh nurani kemanusiaan dunia.

Gerakan solidariti itu tidak akan berhenti, malah ibarat obor api, ia akan terus marak, menyala dan menerangi sinar perjuangan menentang kezaliman serta menuntut kebebasan buat rakyat Palestin.