SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan Persekutuan, mematuhi hukum syarak dan menjaga sensitiviti umat Islam demi memelihara keharmonian serta perpaduan nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam dan hab halal dunia, tindakan menghidangkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan boleh menjejaskan imej negara serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Perbuatan menghidang atau menonjolkan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan hukum syarak, moral dan undang-undang negara.
“Islam bukan sahaja mengharamkan pengambilan arak tetapi juga segala bentuk kerjasama dan penglibatan dengannya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam Global Travel Meet 2025 (GTM 2025) sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program berkenaan lebih awal.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi kenyataan balas menjelaskan bahawa penganjuran majlis itu merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, dalam satu catatan di Facebook memaklumkan bahawa penyediaan minuman berasaskan arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah bertentangan dengan roh Perlembagaan dan menyinggung sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Menurutnya, tiga prinsip utama telah digariskan berhubung penyediaan makanan dan minuman dalam sesuatu majlis, terutamanya yang berkaitan dengan urusan kerajaan dan negara.
“Pertama, sebarang program atau majlis yang dianjurkan oleh agensi kerajaan atau melambangkan identiti negara mestilah menghidangkan makanan dan minuman yang telah disahkan halal oleh pihak berautoriti, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kedua, penganjuran majlis yang menghidangkan minuman arak tidak boleh melibatkan sebarang logo, lambang atau label yang melambangkan pihak kerajaan mahupun negara.
“Ketiga, penganjuran majlis sedemikian mestilah berlangsung dalam keadaan tertutup dan tidak boleh disiarkan secara terbuka kepada masyarakat bagi memelihara sensitiviti agama dan norma sosial majoriti,” ujarnya.