Enam individu didakwa kemuka dokumen palsu berkaitan pendaftaran kelahiran bayi

Iklan
SPRM Selangor mendakwa enam individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor mendakwa enam individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Isnin atas kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pendaftaran kelahiran bayi.

Kesemua individu tersebut didakwa mengemukakan Borang Pendaftaran Kelahiran dan Surat Pemberitahuan Kelahiran yang mengandungi maklumat palsu bagi tujuan pendaftaran bayi sebagai warganegara sah Malaysia.

Iklan
Iklan

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, pertuduhan terhadap keenam-enam individu tersebut dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Menurutnya, SPRM menegaskan bahawa rasuah dalam urusan pendaftaran kelahiran merupakan perbuatan serius yang boleh menjejaskan rekod demografi negara, membuka ruang kepada penyalahgunaan identiti serta mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Iklan

"Ia juga boleh mencetuskan pertikaian kekeluargaan serta memberi kesan sosial serta moral terhadap masyarakat

"Sekiranya pendaftaran kelahiran palsu berlaku secara berleluasa, ia boleh membawa kepada penyalahgunaan hak kewarganegaraan, termasuk pengeluaran MyKad secara tidak sah, sekali gus menggugat integriti sistem pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, SPRM juga telah membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes tersebut.

Katanya lagi, pertuduhan itu merupakan hasil risikan awal Bahagian Perisikan SPRM, diikuti siasatan terperinci oleh SPRM Selangor sehingga membawa kepada pertuduhan di mahkamah.