Perkukuh integriti, akauntabiliti anggota penguat kuasa

Iklan
Akauntabiliti hanya dapat dicapai apabila wujud sistem pemantauan yang berkesan. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Integriti dan akauntabiliti dalam kalangan anggota penguat kuasa perlu diperkukuh bagi memastikan sistem keadilan negara tidak tercemar dengan penyalahgunaan kuasa dan kepentingan peribadi.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berterusan dan berstrategi bukan sekadar tertumpu kepada kemahiran teknikal, tetapi perlu merangkumi pendidikan etika, moral serta tanggungjawab awam.

Iklan
Iklan

"Program kesedaran antirasuah, ceramah nilai moral serta kursus integriti perlu dijadikan sebahagian daripada budaya kerja dalam perkhidmatan awam. Pendedahan ini membantu membina pegawai yang berprinsip dan tidak mudah tergoda dengan godaan rasuah.

"Akauntabiliti hanya dapat dicapai apabila wujud sistem pemantauan yang berkesan.

Iklan

"Setiap agensi perlu memperkukuh unit integriti serta melaksanakan audit dalaman secara telus dan berkala.

"Dalam masa sama, sebarang kesalahan berkaitan rasuah mesti dikenakan tindakan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, lima anggota termasuk seorang pegawai kanan polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM9,000.

Wang rasuah itu dikatakan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki motosikal curi yang melibatkan seorang lelaki.

Menurut sumber, kelima-lima suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dari jam 2 hingga 5 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Tambah Mohamad Nazri, pemimpin dalam agensi penguatkuasaan perlu menjadi contoh kepada anggota bawahan dengan mengamalkan nilai ketelusan, disiplin dan kejujuran dalam setiap tindakan.

Ujarnya, budaya organisasi yang menghargai integriti akan melahirkan persekitaran kerja yang sihat dan bebas daripada penyelewengan.

"Dalam masa sama, masyarakat dan belia juga harus dididik untuk berani menolak rasuah agar nilai integriti terus subur dalam generasi masa depan.

"Kes seumpama itu turut mencemarkan imej pasukan keselamatan yang menjadi benteng utama negara, malah turut menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.

"Sebagai organisasi belia yang menekankan nilai jati diri, disiplin dan amanah, kami menegaskan bahawa tiada ruang untuk kompromi terhadap gejala rasuah dalam apa jua bentuk sekalipun," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas SPRM serta usaha berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh sistem pentadbiran negara yang bersih, telus dan berintegriti.

Menurutnya, kepimpinan Anwar yang berani dan konsisten dalam memerangi rasuah wajar dijadikan teladan kepada semua penjawat awam dan pemimpin masyarakat.

"Tindakan SPRM ini menjadi peringatan penting bahawa amanah yang disalahguna adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

"Oleh itu, semua agensi penguatkuasaan perlu memperkukuh sistem integriti dalaman, memperluas latihan kesedaran anti-rasuah serta mewujudkan saluran aduan yang lebih telus dan selamat," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar golongan belia diperkasa dengan pendidikan nilai kejujuran, tanggungjawab dan keberanian menolak rasuah sebagai asas pembentukan kepimpinan masa depan yang bersih dan berwibawa.

"Gerakan Belia 4B Pulau Pinang komited menjadi rakan strategik dalam menyokong visi Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri demi membina masyarakat tanpa rasuah, berintegriti dan berprinsip," katanya.