ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah bot fiber dinaiki karam di laut berhampiran di Kampung Tebing Runtoh di sini pada Isnin.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Saifulizam Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.01 pagi berhubung kejadian.
“Sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta seramai tujuh anggota telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi difahamkan, bot berkenaan karam pada jarak 10 meter dari tebing dan terdapat dua terdapat dua mangsa masing-masing berusia 40-an.
“Salah seorang daripadanya telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba sementara seorang lagi masih belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Saifulizam, sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan sehingga bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
“Pihak bomba juga melakukan teknik surface searching menggunakan bot nelayan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang,” katanya.