KPDN Kelantan kesan peniaga salah guna label Rahmah, tawar harga biasa

Iklan
Azman (dua dari kiri) bersama Norlisan (kiri) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas di Kota Bharu pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan lebih 10 kes melibatkan peniaga yang didapati menyalahgunakan label Rahmah bagi tujuan menarik pembeli, namun menawarkan harga jualan biasa tanpa diskaun sebenar.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penyalahgunaan itu dikesan melibatkan koperasi, kedai runcit dan pasar mini menumpang nama Rahmah bagi meningkatkan jualan.

Iklan
Iklan

Menurut Azman, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa terdapat peniaga menggunakan nama Rahmah pada jualan barangan keperluan asas, tetapi harga yang ditawarkan tidak selaras dengan inisiatif sebenar kerajaan.

“Apabila kita buat semakan, didapati peniaga terbabit tidak berdaftar di bawah program Jualan Rahmah.

Iklan

“Mereka menggunakan perkataan Rahmah untuk menarik pembeli, sedangkan harga yang dijual adalah harga biasa bukannya potongan 30 peratus yang diberikan oleh kerajaan,” katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah di Kampung Pantai Mek Mas, di sini.

Iklan

Hadir sama, Presiden ATH Group, Norlisan Ramzai.

Ujar Azman, hasil semakan mendapati sesetengah peniaga turut menjual barangan yang tidak termasuk dalam senarai 25 item asas di bawah inisiatif Rahmah seperti susu tepung, yang tidak dibenarkan dalam kategori tersebut.

Ujarnya, apabila KPDN membuat teguran, mereka menurunkan serta-merta perkataan Rahmah pada gerai atau banner jualan.

“Setakat ini, kita beri nasihat terlebih dahulu dan sekiranya masih ingkar, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Azman memberitahu, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan tindakan turun padang bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap inisiatif murni kerajaan itu.