KUALA NERUS – Struktur perlindungan pantai yang lebih kukuh akan dibina bagi mengatasi kejadian hakisan yang menyebabkan runtuhan semula projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit di sini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelaras tindakan segera berhubung perkara itu.
"Oleh kerana projek ini masih dalam tempoh waranti, JKR sedang menjalankan kerja pembaikan tambahan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kerja-kerja tersebut sedang berjalan dan mereka turut mengambil langkah tambahan, di mana JPS juga mengambil tindakan bagi mengurangkan hakisan daripada bertambah buruk.
"Antara langkah yang diambil termasuk meletakkan batu-batu besar dan membina struktur perlindungan pantai yang lebih landai bagi menahan hakisan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek berkenaan, katanya kerja baik pulih jalan yang terjejas akibat hakisan ombak itu dimulakan pada akhir Mac lalu selepas urusan tanah milik persendirian di kawasan terbabit diselesaikan.
"Projek ini melibatkan dua komponen utama iaitu pembaikan jalan dan kerja mitigasi hakisan.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa berkaitan hakisan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan, manakala kerja membaik pulih jalan pula di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri," katanya.
Menurut beliau, projek dengan nilai keseluruhan RM4.95 juta itu bermula pada 8 April 2025 dan dijadualkan siap pada 7 Oktober ini.
"Sepatutnya projek ini siap dan diserahkan (handover) pada 7 Oktober 2025, namun berlaku sedikit kelewatan sekitar seminggu.
"Ketika ombak kuat dan air pasang besar melanda baru-baru ini, hakisan berlaku semula di lokasi sama," katanya.
Tambah beliau, setakat ini kos keseluruhan projek itu tidak berubah dengan anggaran hampir RM5 juta dan kerajaan negeri berharap kerja pembaikan dapat disiapkan sebelum musim monsun bermula tidak lama lagi.
Pada 24 September lalu, projek baik pulih Jalan Pantai Batu Rakit di Laluan T145 berhampiran Kampung Tanjung di sini runtuh selepas dilanda ombak kuat dan air pasang besar.
Sebelum itu, jalan sepanjang 280 meter di laluan sama pernah terputus pada Januari lalu selepas dibadai ombak setinggi 2.4 meter.
Kerja-kerja baik pulih di laluan itu melibatkan pembinaan dinding penahan, pemasangan sistem geotekstil, tambakan pasir serta penstabilan struktur tanah.