Dua guru mengaku tidak bersalah rotan pelajar

Iklan
Teik Hwa dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan terhadap seorang pelajar pada dua tahun lalu.

GEORGE TOWN - Dua guru dihadapkan ke mahkamah berasingan atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar sekolah pada dua tahun lalu.

Di Mahkamah Majistret 3, tertuduh, Choong Kean Beng, 59, yang kini sudah bersara didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan menggunakan rotan.

Iklan
Iklan

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Disiplin Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian pada jam 5.30 petang, 6 Disember 2023.

Tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Iklan
Kean Beng mengaku tidak bersalah merotan seorang pelajar pada dua tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut setelah kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

"Saya faham pertuduhan namun saya mengaku tidak bersalah," katanya.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin sementara tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.

Zaida menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahendran kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan anak guamnya merupakan seorang pesara dengan menerima pencen bulanan sebanyak RM4,000.

"Anak guam saya kini pesara dan perlu menanggung seorang isteri yang merupakan pesakit kanser.

"Selain itu, dia telah diberi jaminan polis pada Disember 2023," katanya.

Nadratun telah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Nadratun juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dan keluarganya dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Nadratun menetapkan 4 November ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, seorang guru lelaki turut menghadapi pertuduhan yang sama.

Tertuduh, Lau Teik Hwa, 47 didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas seorang pelajar yang sama dengan menggunakan rotan.

Mengikut pertuduhan, Teik Hwa yang masih bertugas di sekolah yang sama didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Disiplin SMJK Chung Hwa Confucian pada jam 4 petang, 2 Ogos 2023.

Dia didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut setelah kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

"Saya faham dengan pertuduhan tetapi saya (mengaku) tidak bersalah," kata tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farahin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Koay Ee Teng.

Siti Nur Farahin menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Ee Teng dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya berikutan dia hanya seorang guru dan mempunyai tanggungan keluarga.

"Anak guam saya mempunyai tiga anak yang berusia 11, 15 dan 18 tahun.

"Oleh itu, mohon jaminan yang minimum untuk tertuduh," katanya.

Muhammad Amzar kemudiannya memberi jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Muhammad Amzar menangguhkan kes sehingga 11 November depan untuk serahan dokumen.