GAZA – Seorang askar rejim Zionis dilaporkan maut selepas mengalami alahan teruk akibat sengatan tebuan ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Golan yang diduduki, lapor media Ibrani pada Ahad.
Mangsa, Levena Shalev berkhidmat sebagai pemandu bagi unit mobiliti di bawah Briged ke-228, Nahal Reconnaissance Unit.
Menurut kenyataan rasmi persatuan unit berkenaan, Shalev disahkan meninggal dunia selepas diserang alahan serius susulan sengatan tebuan yang berlaku ketika aktiviti luar bersama pasukannya.
Pasukan perubatan tentera dilaporkan segera memberikan rawatan awal di lokasi kejadian, namun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Pihak tentera rejim juga memaklumkan bahawa satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi meneliti insiden itu.
Kematian tersebut menarik perhatian media tempatan kerana jarang berlaku dalam kalangan anggota tentera, khususnya akibat sengatan serangga.
Dalam kalangan masyarakat Israel, insiden itu turut mencetuskan perbincangan mengenai tahap kesedaran terhadap risiko alahan teruk atau anaphylaxis dalam kalangan anggota pasukan keselamatan.
Bukit Golan yang terletak di sempadan Syria terus menjadi kawasan strategik dan dipenuhi aktiviti ketenteraan rejim Zionis sejak ia dirampas pada tahun 1967. Kawasan itu sering menjadi lokasi latihan ketenteraan serta rondaan keselamatan oleh pasukan Israel. - Agensi