Padah intai wanita mandi, pekerja inap desa dipenjara enam bulan

Iklan
Ahmad Farhan (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas kesalahan sama sebelum ini.

KUALA TERENGGANU – Padah menceroboh dan mengintai wanita mandi, seorang pekerja rumah inap dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.

Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Farhan didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang usahawan wanita berusia 36 tahun dengan melihat kemaluannya kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 26 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis penginapan yang digunakan sebagai tempat tinggal pada masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak bermula tarikh sabitan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara selama enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwa raya selepas penghakiman dibuat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat seorang peniaga wanita untuk bercuti dan membuat penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di daerah ini terbantut selepas menyedari diintip ketika berada di dalam bilik mandi.

Mangsa yang berasal dari Ampang mendakwa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit di tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya.