MELAKA – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berketurunan Arab direman empat hari oleh Mahkamah Majistret bermula Ahad kerana disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya yang juga cucu kerabat diraja di sebuah hotel di negeri ini pada Sabtu.
Perintah reman terhadap lelaki warga Mesir berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari sehingga Rabu.
Sumber berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa berusia 57 tahun menemui satu kotak rokok di bawah bantal suaminya yang mengandungi tiub kaca serta bahan dipercayai dadah jenis ganja dan syabu.
Menurutnya, pergaduhan tercetus apabila suspek mendapati bahan tersebut hilang sebelum dia bertindak mencekik dan menekup muka isterinya dengan bantal.
Katanya, suspek yang berang kemudian memaksa isterinya menyerahkan semula bahan terlarang itu sebelum menemui semula ganja tersebut di dalam beg tangan wanita berkenaan dan keluar dari hotel.
“Tidak lama kemudian, suspek pulang semula ke bilik kira-kira jam 11.30 pagi.
“Dia bertindak menggulung serta menghisap ganja sambil meneguk minuman keras di hadapan isterinya,” ujarnya.
Tambah sumber, keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku pertengkaran mulut dan lelaki itu menampar serta memukul perut mangsa beberapa kali sebelum mengangkatnya ke arah balkoni seolah-olah mahu menolak ke bawah.
“Bagaimanapun, pintu balkoni berkunci dan suspek turut mengugut akan membunuh isterinya,” katanya sambil memaklumkan pasangan itu sudah berkahwin sejak 10 tahun lalu.
Ujarnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di muka, leher, perut dan tangan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka serta membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir.
“Susulan laporan itu, suspek ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif ganja,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT 1994).