KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menghargai usaha kerajaan Persekutuan yang berjaya memastikan semua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dengan selamat selepas ditahan rejim Zionis Israel.
Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan keprihatinan serta komitmen kerajaan dalam melindungi keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.
"Setiap negara bertanggungjawab melindungi warganya, tanpa mengira di mana mereka berada. Ini bukan hanya berkaitan Israel, tetapi juga mana-mana negara lain sekiranya rakyat kita ditahan atau berada dalam keadaan bahaya.
"Kerajaan telah menjalankan tanggungjawab ini dengan baik dan kita ucapkan terima kasih atas tindakan pantas yang diambil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Cari Kerja Terengganu dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan serta Keusahawanan Terengganu 2025 di sini pada Ahad
Ahmad Samsuri berkata, beliau turut mendoakan agar semua aktivis yang terlibat selamat tiba di tanah air dalam masa terdekat selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga berhubung dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta keluarga aktivis asal Terengganu yang menyertai misi berkenaan.
"Alhamdulillah, mereka semua dilaporkan sihat dan berada dalam keadaan baik. Kita tunggu kepulangan mereka untuk mendengar sendiri pengalaman sepanjang misi tersebut.
"Kumpulan ini dijangka tiba di tanah air pada Isnin atau Selasa," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat yang membawa aktivis GSF yang diserang dan ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa, selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada petang Sabtu.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel itu tiba di Istanbul pada 3.50 petang waktu tempatan, lapor Anadolu Ajansi.
Seramai 137 orang daripada flotila itu, termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia, tiba di Istanbul menerusi penerbangan berkenaan dan ketibaan mereka disambut oleh pegawai serta orang ramai di lapangan terbang.