'Ulat' pancing pelancong Belgium guna Vellfire di KLIA

Iklan
JPJ menyita sebuah Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan dalam aktiviti 'ulat' di KLIA Terminal 2 pada Khamis. Foto JPJ Selangor. Gambar kecil: Azrin

SEPANG – Kegiatan seorang lelaki yang menawarkan Toyota Vellfire kepada pelancong untuk khidmat kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini menjerat diri selepas ditahan pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, siasatan awal mendapati pemandu berusia 59 tahun itu telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada enam penumpang warga Belgium dari Terminal 2 KLIA ke Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar tambang yang dicaj adalah sebanyak RM225 dan akan dibayar apabila tiba di destinasi.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu telah aktif melakukan kerja ‘ulat’ sejak tahun 2022.

Iklan

“Kenderaan milik pemandu tersebut telah disita. Semakan mendapati status lesen pemandu berkenaan masih aktif dan dia mendakwa melakukan kerja ‘ulat’ itu kerana mahu mencari pendapatan sampingan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tambah Azrin, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

Tegasnya, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Sebarang aduan trafik boleh disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan maklumat aduan,” ujarnya.