Beza usia 29 tahun bukan penghalang cinta pasangan OKU

Iklan
Mohd Hafizey dan Mas menunjukkan gambar perkahwinan mereka yang berlangsung pada 23 September di PERTIS, Seberang Takir, Kuala Nerus.

KUALA NERUS – Ungkapan cinta tidak mengenal usia sinonim terhadap pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Mohd Hafizey Mat Nasir, 36, dan Mas Ibrahim, 65, yang disatukan sebagai suami isteri selepas berkenalan menerusi segmen ucapan di sebuah stesen radio di sini.

Selepas enam bulan berkenalan, pasangan ini selamat diijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Seberang Takir di sini pada 23 September lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Hafizey, bibit cinta mula berputik selepas tiga tahun mendengar suara Mas di corong radio sebelum berusaha mendapatkan nombor telefon isterinya melalui rakan.

Meskipun berbeza usia hampir tiga dekad, sikap matang dan bertanggungjawab ditunjukkan Mas memikat hati Hafizey.

Iklan

"Hati saya tertarik sejak kali pertama mendengar suaranya melalui corong radio dan sejak itu saya sering menunggu segmen yang sama dengan harapan dapat mendengar semula suaranya.

Mohd Hafizey dan Mas disatukan sebagai suami isteri pada 23 September lalu selepas berkenalan menerusi segmen ucapan di sebuah stesen radio.

Iklan

"Hampir setahun juga saya berusaha mendapatkan nombor telefon Mas dengan bantuan rakan-rakan yang mengenalinya.

"Pada bulan Ramadan lalu, kami mula berhubung dan akhirnya sepakat mendirikan rumah tangga walaupun pada awalnya ada keraguan daripada keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Hafizey yang kehilangan penglihatan tujuh tahun lalu akibat penyakit kencing manis berkata, ini adalah perkahwinan ketiganya selepas rumah tangga terdahulu berakhir dengan kehilangan dan perpisahan.

"Saya pernah berkahwin dua kali sebelum ini. Perkahwinan pertama dikurniakan seorang anak tetapi meninggal dunia lima tahun lalu akibat kanser. Perkahwinan kedua pula berakhir pada 2018 tanpa cahaya mata," kongsinya.

Menurut Hafizey, beliau kini sedang mengikuti kursus urutan refleksologi untuk menjadikannya sumber pendapatan bagi menyara keluarga kecil mereka.

Sementara itu, Mas berkata, walaupun pada awalnya beliau berasa segan kerana jarak usia yang jauh, namun perkenalan singkat itu akhirnya membawanya ke jinjang pelamin.

Selepas kematian suami pada 2020 akibat strok, saya tinggal bersama ibu di Marang. Kini saya bersama suami menetap di Asrama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

"Syukurlah, dia seorang yang baik dan menghargai saya. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kami jujur dan ikhlas dalam hubungan ini," katanya.

Mas turut berkongsi, PERTIS menjadi medium penting dalam kehidupan mereka apabila pasangan itu kini aktif mengikuti kelas hafazan al-Quran dan tulisan Braille selain mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan.

Pasangan ini kini dalam usaha mencari rumah sewa bagi memulakan kehidupan berdua kerana asrama PERTIS hanya menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk individu bujang.