SHAH ALAM - Dakwaan kononnya terdapat minuman beralkohol dalam majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal amat mengelirukan dan tidak berasas sama sekali.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Kata beliau, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu.
"Sekiranya Mas Ermieyati tidak berkongsi semangat yang sama, tidak mengapa. Tetapi, janganlah sampai menjejaskan usaha dan inisiatif baik ini dengan tindakan bersifat sabotaj.
"Saya juga ingin meminta beliau agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan rakyat. Majlis bukan rasmi seperti ini tiada kaitan dengan hal tersebut.
"Jika orang seperti Mas Ermiyati terus mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah seperti ini demi mempopularkan diri sendiri, ia hanya akan menimbulkan keraguan dan menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia hingga akhirnya langsung tidak menguntungkan sesiapa," katanya.
King Sing berkata demikian dalam kenyataan pada Sabtu sebagai respons kepada tuduhan Mas Ermieyati baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bintulu itu menambah, Tourism Malaysia hanya memainkan peranan sebagai pemuda cara, di samping mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan siri acara kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Jelasnya, ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri.
Katanya lagi, sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara VM2026.
"Adakah usaha sebegini juga dianggap salah? Saya ingin menegaskan sekali lagi, segala pengisian makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Tourism Malaysia.
"Peranan kami hanyalah tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara VM2026 yang turut diadakan pada malam tersebut," ujarnya.
King Sing turut memaklumkan, kementerian sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan pegangan agama di Malaysia, malah tidak akan sama sekali membenarkan sebarang penyelewengan fakta berlaku.
"Dalam majlis makan malam tersebut, penganjur telah menyediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol dengan mencukupi, di samping memenuhi keperluan tetamu antarabangsa demi memastikan setiap aspek diraikan sebaik mungkin.
"Justeru, saya juga ingin menggesa Mas Ermieyati agar menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar dapat memacu kemajuan negara.
"Lebih penting lagi, kamu juga mempunyai tanggungjawab untuk turut mempromosikan pelancongan negara kita sendiri, khususnya di negeri dan kawasan yang kamu wakili," kata King Sing.