JITRA - Misteri kehilangan seorang wanita warga emas sejak Jumaat terungkai apabila jasadnya ditemui lemas di dalam longkang besar berhampiran rumahnya di Kampung Pida 12 Lama, di sini pada Sabtu.
Mangsa berusia 88 tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan sebelum ditemui timbul oleh orang awam pada tengah hari.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat tersebut pada pukul 1.46 tengah hari.
“Komander operasi memaklumkan jentera bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kerana laluan yang agak sempit.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota kami mendapati mayat wanita itu sudah timbul di dalam longkang besar di hadapan rumahnya.
"Mangsa kemudian dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang sejak Jumaat sebelum usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.