KUALA LUMPUR - Selepas berkumpul selama beberapa jam, Himpunan Sumud Flotilla tanda protes ke atas sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) di pusat beli-belah Sogo pada Sabtu berakhir tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Dalam himpunan bermula jam 2 petang itu, lebih 15 pemimpin dan aktivis berucap antaranya Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali dan aktivis Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim.
Selain isu mendesak pembebasan sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza oleh tentera Israel, peserta turut melaungkan isu menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa untuk keselamatan semua aktivis kemanusiaan terbabit.
Kawalan keselamatan oleh pihak polis dan anggota Unit Amal Pas di kawasan ini juga membantu mengelak sebarang insiden buruk.
Sebelum itu, peserta himpunan mula berarak ke pusat beli belah bergema sebagai tanda protes ke atas sekatan misi GSF berlangsung aman.
Laungan 'hidup, hidup Palestin' dan 'hancur Israel' oleh peserta yang berarak di jalan raya bergema di kawasan ini.
Media sebelum itu melaporkan lebih 400 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi Khamis.